Monday, August 18, 2014

Mak Nyah dan Doa

*sekadar gambar hiasan*

Saya terpanggil untuk menulis tentang ini sebab ianya muncul di timeline facebook saya.

Saya suka follow bermacam-macam orang di facebook untuk mengetahui lagi sisi dunia dari perspektif dan sudut yang berbeza.

Walaupun hakikatnya, apa yang beliau utarakan kadangkala sama sekali bercanggah dengan perspektif Islam.

Tetapi seperti tajuk di atas, Mak Nyah dan Doa.

Sebenarnya, apa yang berlaku adalah salah seorang yang saya follow di facebook ini *bukan friend* telah menyertai satu Mak Nyah event. Tulisan di facebook beliau berbunyi begini

"At a Mak Nyah's event. Beauty Pageant for over 40s... They started with a Doa... How ironic... These people love their God but human beings are too cruel to leave them be.."

Mungkin bagi kebanyakan orang, mereka akan mengatakan bahawa mereka ini seolah-olah menghina Islam dengan berdoa untuk suatu majlis yang sudah tentu bercanggahan dengan Islam.

Tapi saya mungkin berpendapat yang berbeza dengan mereka.Apa yang saya fikir adalah, mungkin betul juga apa yang beliau kata. Kadang-kadang golongan Mak Nyah ini sangat menyayangi Tuhan mereka tetapi masyarakat sendiri yang telah membuatkan mereka menjauhi Tuhan. 

Majoriti masyarakat kini lebih gemar menghakimi, mengadili serta mengejek-ejek mereka berbanding mereka yang membimbing. 

Masalahnya pula, golongan yang mengejek itu pula tidak semestinya mereka yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Kerana jika mereka perpegang teguh, mereka tidak akan mengejek tetapi akan membimbing mereka lagi.

Begitu sedikit golongan yang ingin duduk bersama mereka dan bertanya apa silapnya mereka menjadi begini. Mereka lebih kepada berkata

 "feeewiiiiiiiiitttttttttt, cunnya makwe!" 

daripada menerangkan perkara tersebut bertentangan dengan ajaran Islam. Diakui, ada juga di antara mereka yang sudah mengetahui apakah implikasinya terhadap balasan di akhirat tetapi tetap meneruskan perbuatan itu.

Hal ini adalah kerana, mungkin mereka tidak menjumpai orang yang dapat membimbing mereka dan mereka berasa perempuan itu sifatnya cantik dengan make up dan pakaian yang seksi sebegitu dan mereka yang sebegitu lebih banyak dilayan oleh lelaki dan kadang-kadang juga disenangi oleh perempuan sendiri.

Mereka lebih gemar melepak bersama orang-orang yang sejenis dengan mereka kerana mereka berpendapat masyarakat sangat membenci golongan seperti mereka. 

Golongan seperti ini kadangkala wujud rasa ingin bertaubat dalam diri mereka tetapi disebabkan mereka ini selalu dicaci maka mereka pun melambatkan taubat mereka. 

Sejujurnya saya juga berpendapat mereka ini kelakar kerana reaksi mereka kadangkala berlebih-lebihan berbanding perempuan yang biasa. Dan sejujurnya saya juga pernah terserempak dengan mereka di Genting Highland ketika beratur hendak menaiki salah satu permainan di Taman Tema tersebut. Mereka kelihatan begitu seronok di antara mereka dan mereka malas hendak fikir tentang apa yang masyarakat fikir tentang mereka kerana mereka tahu apa yang mereka akan terima adalah kutukan, dan bukan bimbingan. 

Diakui pada waktu itu, saya juga gelakkan mereka kerana cara mereka berpakaian dan juga reaksi yang berlebih-lebihan. Sekarang saya rasa menyesal kerana memperlekehkan mereka dan saya tidak seharusnya berkelakuan begitu walaupun saya tidak menunjukkan riak kurang senang terhadap mereka ketika berhadapan. Saya lebih kepada mengutuk mereka di dalam hati. Itu pun saya kira, satu dosa juga. Bukankah lebih elok jika saya doakan mereka mendapat petunjuk daripada Allah Subhanahu Wa Ta'ala daripada mengutuk mereka didalam hati? Sekali lagi saya ingin menyatakan, saya menyesal.

Ketika saya menonton Pencetus Ummah Akhir di Astro Oasis pada musim lalu, ada seorang yang melontarkan soalan kepada peserta Pencetus Ummah dan mengakui beliau adalah bekas seorang Mak Nyah dan Alhamdulillah sudah kembali ke jalan yang benar. Dan sekali lagi saya melihat beliau menjadi salah satu pengacara dalam Jejak Rasul. Bukankah ianya indah sekali? Disebabkan beliau telah bertaubat maka beliau pun ditawarkan untuk menjadi salah satu pengacara Jejak Rasul. Dapat merasa sendiri menjelajah ke seluruh pelosok Tanah Arab dan mendengar sejarahnya. Besar rezeki Allah berikan kepadanya.

Tidaklah saya katakan disini bahawa semua yang bertaubat itu akan diberi tawaran bekerja dengan Media Prima atau apa-apa sahaja tetiba saya lebih kepada mengatakan bahawa sekiranya mereka ini bertaubat, InsyaAllah Allah akan limpahkan lagi rezekiNya kepada mereka. Kali ini, rezeki yang halal pula. Walaupun diakui, dugaannya juga cukup besar untuk mereka. 

Saya berharap diberikan kekuatan oleh Allah untuk mendekati golongan ini dan cuba menerangkan kepada mereka betapa kasihnya Allah kepada mereka ini sekalipun mereka dicaci masyarakat sekeliling. Dan mungkin dengan itu saya dapat membimbing mereka ke jalan yang lebih baik. Saya juga harap kawan-kawan saya yang lelaki akan diberi kekuatan untuk mendekati mereka dan membimbing mereka.

Sesungguhnya Allah sangat menyukai hambanya yang bertaubat. Sebaik-baik pendosa adalah mereka yang bertaubat. Marilah kita sama-sama berdoa supaya mereka sedar betapa kasih dan cintaNya kepada hambaNya. Begitu banyak nikmat yang diberi dan marilah kia berharap mereka ini dapat salurkan nikmat itu ke jalan yang benar.

Dan sekiranya anda, yang terbaca blog saya ketika ini, adalah seorang Mak Nyah ataupun seertian dengannya. Ingatlah, teruskan berdoa supaya Allah kukuhkan hati-hati anda untuk anda berubah. Jumpalah mereka yang anda betul-betul rasa dapat membimbing anda dan jauhilah mereka yang segolongan dengan anda tetapi sebaliknya, andalah yang sepatutnya boleh menyedarkan mereka sedikit demi sedikit. Semoga Allah memberi kekuatan untuk anda. Jangan mudah mengalah. Setiap usaha anda itu berkemungkinan anda menerima pahala darinya kerana anda sedang bertarung dengan nafsu anda dan juga keredhaan Allah. InsyaAllah Allah kira segalanya. Pintu taubat masih lagi terbuka untuk anda.


Sekian sahaja untuk kali ini, Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh.

No comments: